MAAFKAN FARID MAK...
Jam di tangan aku dah menunjukkan tepat 10.30
malam. Sekitar KL Plaza, Bukit Bintang sunyi dengan pengunjung makin
beransur-ansur pulang. Sesekali di hadapanku kelihatan sekumpulan mat
motor membuat hingar bingar dan kemudian melakukan pusingan U-turn di
hadapan 7-11 dan terus menghilang. “syam, mana awek-awek ni?” Lamunanku
terhenti bila disapa oleh farid yang selamba menghisap rokok di atas
motornya. farid yang sentiasa menjadi rebutan awek-awek motor kerana
wajahnya yang ‘jambu’ baru sebulan menyertai kumpulan mat motorku.
Walaupun kadang-kadang perangainya yang playboy tu menyusahkan diriku,
tapi aku menyenanginya kerana dia amat hormat akan aku. Setiap
kata-kataku tak pernah dibantah.
Sedang
aku tersenyum pada farid, telingaku menangkap deruman ekzos motorsikal
menuju ke arahku. Rupanya adikku bersama ahli-ahli kumpulan motorsikalku
sudah tiba setelah berlumba di Jalan Tun Razak. Kelihatan masing-masing
amat teruja dan tak sabar-sabar untuk bercerita akan kehebatan
masing-masing. Adikku, anuar terus menuju ke arahku sambil memberikan
isyarat bertanyakan awek-awek yang aku janjikan. Sebenarnya petang tadi lisa menghubungi aku mengajak aku keluar. Dan dia menjanjikan untuk
membawa lima rakannya. lisa merupakan awek yang selalu membonceng
motorsikalku. Tiap kali habis kerjanya di pusat karaoke sebagai GRO,
sudah tentu dia akan menghubungi aku untuk keluar berjalan-jalan.
Belum
sempat aku menjawab pertanyaan anuar, farid memanggil aku. “syam, lisa
ngan member-member dia dah sampai” sambil menunjuk ke arah laluan jalan
kaki tidak jauh dari kami. Kelihatan lima susuk tubuh gadis dengan
pakaian yang seksi dan menggiurkan. Aku sendiri meneguk air liur melihat lisa yang malam itu dengan skirt pendek dan baju body ketat hingga
menampakkan segala lekuk2 dan lurah2. Rakan-rakannya yang lain turut
berpakaian menjolok mata.
“Hi
abang” sapa lisa dengan manja. “Bang, jom gerak bang. Malas la lama kat
sini. Takut operasi nanti” . Aku memberi isyarat untuk bergerak.
Rakan-rakanku tersenyum apabila mendapat pasangan masing-masing. Dengan
pulasan throttle yang sengaja dipusing berulang-ulang kali, ekzos
motorku mengeluarkan bunyi yang bingit hingga menarik perhatian mat-mat
motor lain yang lepak di situ. Sambil ‘membakar’, kami memecut
meninggalkan Bukit Bintang menuju ke Selayang. Sepanjang jalan terutama
di Taman Wahyu, kami berlumba sesama sendiri. Malah sempat juga membuat
aksi wheelie dengan pembonceng di belakang. Namun aku perasan farid paling
gembira waktu itu, tidak seperti biasa. Hatiku terasa berdebar-debar
bagaikan ada yang tidak kena.
Sepanjang
perjalanan, tiga roadblock polis kami tempuhi dan semuanya samada kami
redah atau berpatah balik dan melalui jalan lain. Tiba di Jalan
Parlimen, kami bertembung dengan sekumpulan mat motor lagi. Kami
bergabung membentuk kumpulan yang lebih besar dan melayan corner
Parlimen yang terkenal di kalangan mat motor di Kuala Lumpur. Setelah
lima pusingan, kami mula bergerak menuju ke pusat bandar setelah
mendapat maklumat roadblock polis di pusat bandar telah tamat. Ketika
itu jam menunjukkan pukul 4 pagi.
Di
hadapan Padang Merbuk, farid yang memboncengkan dyia memecut mendahului
sambil melakukan aksi wheelies. Tiba di persimpangan lampu isyarat Bank
Negara, aku melihat dari jauh farid masih tidak memperlahankan
motorsikalnya walaupun lampu isyarat merah. Tanpa disangka, sekelip mata
muncul sebuah lori tanah dan terus merempuh farid yang baru sahaja
melepasi lampu isyarat tersebut. Bunyi dentuman yang kuat merenggut hati
aku. “FARID” hatiku menjerit. Aku dan adik aku segera berhenti dan terus
ke tempat kejadian. Keadaan jadi hingar bingar. Kelihatan motorsikal farid
yang remuk dengan farid terbaring memeluk motorsikalnya. dyia tidak
kelihatan. Rupanya selepas dirempuh, motorsikal farid digelek tayar lori
tersebut tanpa sempat farid melepaskan motorsikalnya. Rakan-rakan yang
lain hanya melihat dari jauh. Aku melihat farid sudah tidak bernyawa lagi.
Darah segar bercampur minyak petrol mengeluarkan bau yang hanyir.
Adikku segera mencari dyia dan terjumpa jasadnya di tepi pembahagi
jalan, juga tidak bernyawa dengan beberapa bahagian badan patah. Aku
masih dapat mengawal diriku manakala lisa, sarah, misha dan zara
menangis teresak-esak mengenangkan nasib dyia.
Setelah
polis dan ambulan tiba, mayat farid dan dyia dibawa ke hospital. Setelah
menghantar lisa pulang, aku terus ke Cheras Baru iaitu rumah farid. Ketika
itu, azan Subuh baru kedengaran. Aku memberi salam sambil mengetuk
pintu rumah murah itu perlahan-lahan tidak mahu mengganggu jiran lain.
Setelah dua minit menunggu, pintu dibuka oleh ibu farid yang bertelekung.
Mungkin baru hendak menunaikan solat Subuh. Dalam keadaan sebak, aku
menyampaikan berita sedih itu kepada ibu farid. Ibu farid hanya mendiamkan
diri sambil tiba-tiba titis demi titis air mata meniti ke pipinya. Aku
segera memapah ibu farid ke kerusi. Adik perempuan farid yang baru bangun
turut membantu. Ayah farid telah lama meninggal dunia. Ketenangan yang
kelihatan di wajah ibu farid walaupun dalam keadaan yang amat sedih
membuatkan aku turut mengalirkan air mata. “Abg farid tadi dia nak keluar,
tapi mak tak bagi. Tapi dia keluar jugak.” Adik farid memberitahu aku
dengan esakan dan air mata. Aku hanya mendiamkan diri sambil memujuk
adik farid.
Selepas itu, aku terpaksa meninggalkan ibu farid dan adiknya yang dalam esakan dan linangan air mata bagi menguruskan urusan menuntut mayat farid. Di tanah perkuburan, hanya aku dan adikku sahaja yang hadir. Rakan-rakan yang lain entah ke mana. Hatiku berdetik “Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis tiada siap peduli” sambil melepaskan nafas panjang. Sejak kejadian tersebut, aku amat berhati-hati. Terasa serik di hati bila mengenangkan titik hitam itu. Itulah kehidupan mat motor nakal atau sekarang dikenali sebagai mat rempit. Jangan harap pemergian yang terkorban akan dikenang, malah dilupakan sahaja. Rakan-rakan yang lain selepas hari tersebut masih keluar berlumba dan berpoya-poya walaupun kubur rakan mereka masih merah lagi.
TAMAT.... nur_ain_asiah...
No comments:
Post a Comment